Saturday, July 23, 2016

APA KATA PAKAR..DR AZIZAN..POINT#2

Ini ingatan buat anda yang suka diingatkan dan ambil perhatian sebelum buat keputusan untuk melabur duit takut-takut melebur:-

#1 –  Jangan Gelojoh Bila Terima Tawaran Pelaburan

Jangan “melabur” wang atau cuba fikir banyak kali bilamana ada orang buka tawaran kepada anda untuk terlibat dalam pelaburan samada emas, hartanah, perniagaan, tanam pokok kayu atau apa sahaja jenis yang mereka panggil “pelaburan” atau “perkongsian keuntungan”.

#2 – Melabur Emas Untuk Dapat Emas Fizikal

Jika anda melabur beli emas anda sepatutnya dapat emas fizikal ditangan, emas tulen ikut nilai yang ada laburkan atau beli. Kecuali anda menyimpan di akaun simpanan emas di Bank seperti ArRajhi, Maybank atau Public Bank.

#3 – Gunakan Khidmat Nasihat Peguam Bertauliah

Jika anda mahu melabur kepada syarikat orang lain, jangan serah duit tanpa ada khidmat nasihat peguam luar anda sendiri serta kena faham apakah tahap pemilikan dan kuasa  anda terhadap wang tersebut serta syarikat tersebut.

#4 -Hati Hati Dengan Skim Bertopengkan MLM

Ada satu lagi skim pelaburan yang meragukan adalah dengan beroperasi atas nama kononnya MLM (Network Marketing Company) sedangkan sebenarnya mereka tidak ada lesen AJL (Akta Jualan Langsung) dan skim mereka adalah ‘money game’.
Dan kadang-kadang mereka ada lesen, tetapi mereka cipta ‘money game’ dengan pelbagai rupa. Bukan semua syarikat MLM/Network Marketing company tidak bagus, banyak yang baik samada dari Malaysia atau negara luar.
Ia cara mudah untuk berjinak-jinak dengan perniagaan. Cuma disebabkan 2-3 syarikat yang buat skim cepat kaya, maka ia merosakkan yang lain. Saya tidak buat MLM, saya cakap fakta kerana saya mengkaji tentang bisnes.

#5 – Jauhi Skim Yang Berorientasikan ‘Money Game’

Apa contoh ‘money game’? Anda masuk duit kononnya beli sesuatu tetapi pada harga yang tidak munasabah kemudian anda perlu samada tunggu 2 downline cukup. Serta mereka akan beritahu tidak perlu cari orang, duduk diam-diam kemudian tunggu dapat duit. Atau jika anda mahu cepat, anda boleh ajak kawan-kawan sertai juga.
Atau anda kononya beli kopi 100 gram berharga RM1,000 (Kopi apa harga RM1,000 untuk 100 gram?). Kemudian kena dapatkan 2 orang bawahan beli kopi macam anda kemudian anda akan dibayar komisen berpasangan ‘pairing’. Ada lagi hebat, ketua mereka beritahu anda tidak perlu buat apa-apa, berdoa sahaja kemudian anda akan dapat duit atau cium duit tiap-tiap hari kemudian duit datang sendiri.

#6 – Tiada Individu Yang Punyai Hak Sah Untuk Kumpul Duit

Deposit Wang Haram –  Cuba faham perkara ni. Tidak ada sesiapa di Malaysia boleh kumpul duit atau ambil duit orang lain dengan sah untuk pelaburan melainkan anda adalah bank, syarikat Unit Trust, koperasi, Tabung Haji, KWSP dan syarikat ‘Public Listed’ tersenarai di Bursa Malaysia melalui pembelian saham di syarikat firma pembrokeran saham. Anda boleh menjadi pemegang saham kepada syarikat Sendirian Berhad atau Berhad tetapi anda perlu faham apakah syarikat yang anda laburkan duit anda?

#7 – Jangan Mudah Percaya Melabur Pada Individu

Poinnya , fahami apa risiko anda. Sekiranya anda melabur, apakah tahap risiko hilang duit itu? Jangan melabur kepada individu. Jangan percaya dengan mudah sesiapa pun bila ia melibatkan hal duit. Hati-hati bila mereka janji anda boleh dapat pulangan yang dijanjikan seperti 10-12% sebulan. Jika ia bagus, Bank Negara pun akan simpan duit dengan mereka. Hubungi talian Bank Negara atau layari laman web mereka untuk pengesahan.

#8 – Semua Pelaburan Adalah Bagus Jika Anda Belajar Ilmu Yang Betul

Pelaburan hartanah, emas, saham, amanah saham, perniagaan dan instrumen yang lain adalah bagus tetapi anda mestilah ada ilmu dan strategi yang terbukti berjaya.

#9 – Labur Masa Untuk Belajar Dari Formula Pengalaman Orang Lain

Pelaburan ilmu juga bagus dan penting tetapi jangan melabur hanya untuk dapatkan ilmu tetapi melabur untuk belajar pelajaran dari kesilapan orang lain, formula kejayaan dan pengalaman orang lain yang telah terbukti berjaya berulang kali. Ya, bukan hanya kepada dirinya tetapi setiap mereka yang mempraktikkan formula mereka. Ia meningkatkan peluang anda berjaya, dengan izin Allah.
Setiap pelaburan ada risiko tetapi risiko paling besar adalah bila anda tidak tahu apa yang anda laburkan atau mana pergi duit tersebut.